Thursday, May 14, 2009

AFMasuk Tidak Adil?

Tiara sebenarnya sudah lama ingin melaksanakan elemen AF Masuk ketika Zizi dan Qhoud terkeluar. Namun, keputusan itu dibuat secara serius semasa penyingkiran Aishah dan Claudia


KEMASUKAN semula Aril (kiri) bakal menggugat kedudukan Yazid dalam AF7.


KETIKA pengetua Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Datin Seri Tiara Jacquelina mengumumkan elemen AF Masuk pada konsert minggu kelapan, ramai yang memberi pandangan bahawa keputusan itu dibuat 'khas' untuk pelajar yang tersingkir pada minggu ketujuh, Aril.

Merujuk kepada populariti barisan pelajar-pelajar yang tersingkir, Aril tidak dinafikan dia merupakan pelajar paling hangat musim ini. Malah, penyingkiran Aril sendiri telah mengejutkan ramai pihak kerana dia diyakini akan menempa tiket ke pusingan akhir yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Terbukti dengan monopoli 52.5 peratus undian AF Masuk daripada 300,000 jumlah undian selama seminggu, pengumuman Aril diserap semula dalam AF7 disambut baik. Menghitung jumlah undian yang diperolehi, Aril mendapat sokongan jauh berbeza daripada pelajar kedua dalam senarai iaitu Aishah dengan undian sebanyak 26.6 peratus. Selebihnya dikongsi oleh lapan bekas pelajar lain.

Tidak menafikan populariti Aril atau nama sebenarnya, Khairil Azam Pilus, cuma ada segelintir pihak berpendapat kemasukan Aril terus ke peringkat final bagaikan jalan mudah baginya. Ada juga menyatakan perasaan tidak puas hati kerana keempat-empat pelajar lain yang layak, Hafiz, Isma, Akim dan Yazid bertungkus-lumus untuk mara ke final.

Menyaksikan persembahan keempat-empat pelajar pada minggu sembilan sudah cukup menyukarkan penonton untuk memilih juara mereka. Maka, dirasakan elemen AF Masuk itu tidak diperlukan lagi kerana apabila seseorang pelajar itu disingkirkan, itu bermaksud penonton mahu pelajar itu dibuang terus.


MAMPUKAH Akim memberikan persembahan yang bakal menjulangnya sebagai juara AF7?


Mungkin itu gimik Astro untuk menghangatkan lagi AF7 yang sudah menghampiri penghujung. Namun, menurut Ketua Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, AF Masuk bukannya dikenalkan semula atas alasan suka-suka tetapi atas dasar keperluan, permintaan dan perbincangan bersama fakulti.

"Setiap minggu, peratusan undian antara pelajar adalah sengit. Maka, apabila Tiara memberitahu bahawa dia ingin menggunakan semula konsep AF Masuk, kami membenarkan kerana ingin memberi peluang kepada audiens memilih finalisnya. Tidak kira siapa pilihan audiens, kami menerimanya."

Sebagai pengetua, Tiara mempunyai kuasa untuk memutuskan perlaksanaan AF Masuk. Selepas perbincangan dengan pihak produksi AF7, Tiara sebenarnya sudah lama ingin melaksanakan elemen AF Masuk ketika Zizi dan Qhoud terkeluar. Namun, keputusan itu dibuat secara serius semasa penyingkiran Aishah dan Claudia.

"Saya tahu saya ada hak untuk melaksanakan AF Masuk. Tapi sebelum itu saya rasa ia tidak begitu diperlukan lagi. Saya sayang semua pelajar dan apabila dia pelajar berbakat disingkirkan sekali gus, saya rasa ini (minggu kelapan) adalah masa yang sesuai untuk mengumumkan AF Masuk," ungkap Tiara.


ISMA, satu-satunya peserta wanita yang melayakkan diri ke gelanggang final AF7.


Menerima banyak panggilan daripada penonton yang mahukan AF Masuk dilaksanakan, Khairul Mizan menegaskan AF Masuk bukannya satu gimik dan jumlah peserta yang akan disingkirkan pada setiap konsert telah ditetapkan oleh dia bersama Penerbit Eksekutif AF7, Sooraj Nair.

"Ingin saya tegaskan bahawa AF Masuk adalah sebahagian daripada format AF. Sebelum berlangsungnya konsert, saya dan Sooraj akan menetapkan jumlah peserta yang akan disingkirkan.

"Kami tidak akan berbincang dengan pihak fakulti dan Tiara. Maka, keputusan untuk melaksanakan AF Masuk dibuat pada konsert kelapan itu sendiri. Namun, semuanya atas budi bicara dengan Astro," tambah Khairul Mizan.

Walaupun AF Masuk bukannya sesuatu yang baru, namun, kemasukan Aril juga mendapat 'tentangan' pelajar AF7 itu sendiri. Melihat kejayaan bekas pelajar yang pernah diserap menerusi elemen itu seperti Mawi, Marsha dan Lotter, Aril dijangka akan menumpaskan sebahagian daripada finalis yang mendapat kutipan tertinggi selama sembilan minggu bertanding.


KEMASUKAN semula Aril menjadikan laluan untuk Hafiz menjuarai AF7 semakin sukar.


Bagi pihak Astro, Khairul Mizan menjelaskan AF Masuk memainkan peranan untuk menyuntikkan elemen hiburan kepada keseluruhan pusingan akhir nanti. Namun, dia juga bersetuju dengan pendapat ramai bahawa kemasukan Aril itu tidak begitu adil.

"Apa yang orang katakan itu juga ada kebenarannya. Yazid pun pernah berkata secara main-main dalam diari bahawa AF Masuk tidak begitu adil. Saya tahu keempat-empat pelajar telah menjalani jalan sukar dan Aril masuk terus. Ia dilihat tidak begitu adil bagi mereka.

"Tapi jika tidak ada AF Masuk, maksudnya hanya empat pelajar sama akan membuat persembahan pada final nanti. Kami mahukan pusingan akhir yang lebih meriah dan bervariasi," jelasnya lagi.


YAZID mampu memberikan persaingan sengit terhadap Hafiz, Aril, Isma dan Akim.


Berjayakah Aril menumpaskan Yazid, Akim, Isma, Hafiz pada konsert akhir yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, pukul 9 malam, Sabtu ini?

Berlandaskan pola undian yang tidak konsisten daripada penonton, rasanya penonton menghadapi kesukaran untuk meneka siapa bakal menjuarai AF7 berbanding musim-musim sebelumnya. Tapi apa yang pasti episod akhir AF7, hujung minggu ini bakal menjanjikan kejutan.

Kredit: Kosmo!

No comments:

Post a Comment